Lelaki disyaki bunuh teman wanita guna batang penyapu didapati positif dadah

Foto Hiasan Media Sosial
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Lelaki yang ditahan selepas dipercayai memukul teman wanitanya menggunakan batang penyapu hingga mati di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, di sini, pagi tadi, didapati berada di bawah pengaruh dadah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil ujian saringan ke atas lelaki berusia 23 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.34 pagi daripada seorang wanita berusia 30 tahun mengenai satu kejadian pergaduhan di antara suami isteri dan isteri mengalami kecederaan parah.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang wanita berusia 24 tahun berada dalam keadaan tidak sedar diri terbaring tidur di atas katil dan berbantal.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Susulan itu, polis menahan teman lelaki mangsa yang mengaku memukul mangsa dan tiga individu lain yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, tiga individu berusia antara 29 hingga 65 tahun yang turut ditahan itu termasuk ibu suspek dan mereka datang ke tempat kejadian sejurus dihubungi suspek.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek dan mangsa tinggal di tingkat atas rumah kedai itu bersama seorang bayi lelaki yang baru berusia lapan bulan.
“Beberapa barang kes seperti empat telefon bimbit dan batang penyapu yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut turut dirampas.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan,” katanya.
Yahaya berkata keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 1 Julai untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, bayi lelaki kepada mangsa diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
#PerakKini #PDRM #bunuh #temanwanita #batangpenyapu #Ipoh #RBZ
