Suspek samun ragut ditahan tak sampai 3 jam selepas polis terima laporan

Pasangan suami isteri yang cedera dalam insiden samun ragut itu. - Foto: Ihsan PDRM

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Dua suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian samun ragut sehingga mendatangkan kecederaan kepada pasangan suami isteri di Jalan Queen di Pasir Pinji, baru-baru ini berjaya ditahan tidak sampai tiga jam selepas polis menerima laporan berhubung insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pada 10 Februari lalu, lebih kurang jam 11.49 pagi, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian samun ragut sehingga mendatangkan kecederaan membabitkan pasangan suami isteri.

Menurutnya, dalam kejadian jam 9.10 pagi itu pasangan suami isteri yang menaiki motosikal pada ketika itu diragut oleh suspek yang juga menaiki motosikal sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya sehingga mengalami kecederaan luka di muka, tangan dan kaki.

“Susulan insiden itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mengadakan operasi khas dan menahan dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 26 tahun lebih kurang jam 2.30 petang hari yang sama.

“Beberapa barang kes turut dirampas termasuklah kenderaan yang digunakan suspek, pakaian dan barangan peribadi milik mangsa.

“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kedua-dua suspek telah direman dari 11 hingga 17 Februari untuk siasatan lanjut.

“Hari ini, suspek utama kes dituduh di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika samun,” ujarnya.

#PerakKini #PDRM #ragut #smun #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *