Susulan video tular Adun Titi Serong serbu premis judi, polis tahan 3 lelaki

Tangkap layar video Hasnul yang tular di media sosial.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis menahan tiga lelaki dalam dua serbuan di dua premis yang dipercayai menjalani aktiviti judi atas talian di Tanjung Piandang, Kerian semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat berkata, tiga-tiga suspek yang ditahan yang dipercayai pekerja premis berusia 21 hingga 32 tahun.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan video tular yang memaparkan wujudnya aktiviti berkenaan.

“Kesemua suspek ditahan direman di lokap Balai Polis Bagan Serai dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata bermula Januari tahun lalu sehingga kini sebanyak 351 serbuan dibuat dan daripada jumlah itu 80 adalah di kawasan Tanjung Piandang manakala premis sama sudah diserbu empat kali sejak tahun lalu.

“Polis memandang serius perkara ini dan akan kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman orang awam sentiasa terpelihara selain tidak terjebak dalam aktiviti perjudian,” katanya.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis atau terus di talian Hotline Polis Daerah Kerian di talian 05-7212222.

Semalam, Perak Kini memuat naik video Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Hasnul Zulkanain Munaim yang bertindak menyerbu dua premis di kawasan pekan Titi Serong dan Bagan Tiang yang dipercayai menjalankan aktiviti judi atas talian.

Hasnul turut meluahkan rasa kecewa di atas aktiviti perjudian itu selain meminta pekerja premis berkenaan  menghentikan operasi serta merta.

Difahamkan, beliau akan membuat laporan polis berhubung aktiviti berkenaan.

#PerakKini #PDRM #AdunTitiSerong #judionline #tular

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *