Tragedi 4 sekeluarga maut: Anak sulung tak sempat kerja tempat baharu

Ahli keluarga dan sanak saudara mangsa melakukan solat jenazah di hadapan Jabatan Forensik HRPB, Ipoh bagi urusan tuntutan jenazah.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Jenazah empat sekeluarga dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibawa pulang ke Permatang Pauh, Pulau Pinang bagi urusan pengebumian.

Perak Kini difahamkan, mereka yang terkorban dalam kemalangan itu ialah Rahim Ramli, 60, Siti Petimah Omar, 59, Nor Hadirah Rahim, 28, dan Nor Hamizah Rahim, 27.

Kesemua mangsa yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dijangka dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar anak sulung mereka Nor Hadirah yang menerima tawaran kerja di Kuala Lumpur.

Kereta Proton Persona yang dinaiki empat sekeluarga terbabit. – Foto: Media Sosial.

Anak saudara kepada Siti Petimah iaitu Zuraiti Ismail, 43, berkata kali terakhir dia menemui keluarga terbabit pada perayaan Aidiladha baru-baru ini.

Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi ibu saudaranya itu pada jam 12 tengah hari ketika mereka berada di Alor Pongsu sebelum terputus hubungan sekitar jam 4 petang.

Tambahnya, keluarganya juga dalam perjalanan pulang ke Bangi selepas cuti perayaan Aidiladha berakhir.

“Saya susah hati apabila panggilan telefon tidak berjawab kerana Maksu tidak boleh bawa kereta, Paksu sahaja yang boleh memandu kereta.

“Selepas gagal untuk menghubungi Maksu sekeluarga, kami berhenti di Bukit Gantang untuk solat Asar sebelum menyambung perjalanan pulang ke rumah kami di Bangi.

“Bagaimanapun, selepas keluar daripada Terowong kami dapat panggilan daripada Makcik di Melaka yang memaklumkan keluarga Maksu terlibat dalam kemalangan.

“Sejurus selepas itu, kami terus melalui susur keluar Ipoh dan bergerak ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menunggu urusan jenazah selesai sebelum dibawa pulang ke Permatang Pasir, Permatang Pauh (Pulau Pinang) untuk dikebumikan,” jelasnya.

Zuraiti ditemui Perak Kini di perkarangan Jabatan Forensik, HRPB malam tadi.

Anak saudara mangsa, Zuraiti Ismail.

Tinjauan Perak Kini mendapati seorang perempuan dipercayai anak ketiga mangsa tiba di Jabatan Forensik, HRPB bagi melakukan proses pengecaman sebelum kesemua jenazah dibawa pulang.

Perempuan terbabit tidak dapat menahan sebak selepas melihat kesemua jenazah ahli keluarganya yang terbabit dalam tragedi itu.

Seorang perempuan dipercayai anak ketiga mangsa yang hadir ke Jabatan Forensik HRPB, Ipoh bagi urusan tuntutan jenazah.

Ahli keluarga dan saudara mara mangsa juga kelihatan melakukan solat jenazah sebelum kesemua jenazah dibawa menaiki van untuk menuju destinasi seterusnya di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, tujuh kenderaan termasuk kereta jenis Proton Persona yang dinaiki keluarga berkenaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan petang Rabu.

#PerakKini #kemalangan #maut #keluarga #Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *