Tragedi 4 sekeluarga maut: Pemandu treler mempunyai 13 saman trafik

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 277.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan di sini, petang semalam mempunyai 13 rekod kesalahan trafik dari 2008 hingga tahun lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata daripada 13 kesalahan itu, tiga daripadanya membabitkan kemalangan jalan raya pada tahun 2012, 2020 dan 2021.

Menurutnya, pemandu treler berusia 34 tahun itu ditahan semalam dan akan direman pada hari ini bagi membantu siasatan.

“Polis telah menahan pemandu treler kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.

“Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan mendapati lelaki tersebut tidak memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 2.45 petang semalam.

“Hasil siasatan mendapati sebuah lori treler tanpa muatan yang dipandu lelaki itu dari arah Taiping menghala ke Bukit Beruntung, Selangor telah merempuh sebuah kereta yang dinaiki empat sekeluarga dari arah belakang.

“Akibat daripada rempuhan tersebut, treler dan kereta itu telah menggelongsor ke hadapan lalu melanggar lima buah kenderaan lain yang turut mengalami kerosakan teruk namun kesemua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Susulan itu, Mior Faridalathrash turut meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Tarmini Che Hassan di talian 013-5949441 bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian petang Rabu itu, empat sekeluarga yang menaiki kereta Proton Persona maut akibat tersepit selepas terbabit nahas membabitkan enam kereta dan sebuah treler.

Mangsa adalah, Rahim Ramli, 60, Siti Petimah Omar, 59, Nor Hadirah Rahim, 28, dan Nor Hamizah Rahim, 27.

#PerakKini #reman #pemandutreler #kemalangan #maut #Ipoh

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *