TULAR: Kereta rempuh premis BubbleBee akibat tertekan pedal minyak

Foto: Instagram shuibsepahtu

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang lelaki melanggar premis minuman BubbleBee selepas dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan dipandunya dalam kejadian yang berlaku di sebuah pasar raya di Bandar Meru Raya pada pagi Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 10.35 pagi membabitkan sebuah kereta jenis Naza Ria yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun.

“Semasa pemandu kereta parkir di lot parkir tiba-tiba dia tertekan pedal minyak dan meluncur melanggar sebuah motosikal jenis Honda yang parkir di hadapannya serta terlanggar premis Bubble Bee.

“Bagaimanapun, pemilik kereta, pemilik motosikal dan penyelia kedai tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan rosak di beberapa bahagian manakala peralatan dan barangan di dalam premis minuman itu turut mengalami kerosakan.

“Antara kerosakan yang membabitkan premis tersebut adalah cermin premis, beberapa jenis mesin, komputer dan kabinet,” katanya.

Mohd Yusri berkata siasatan masih diteruskan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Terdahulu tular gambar sebuah kenderaan merempuh premis minuman berkenaan di sosial media.

#PerakKini #tular #keretarempuh #Bubblebee #Ipoh

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *