Mayat reput wanita ditemui pagi tadi mati akibat dicekik

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis mengesahkan mayat reput yang ditemukan dalam semak hanya dua meter dari lokasi kejadian kereta terbabas di tepi longkang, berhampiran lampu isyarat Jalan Besar Tambun awal pagi tadi mati akibat dicekik.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia berdasarkan hasil laporan bedah siasat yang selesai dijalankan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 7 petang tadi.

“Susulan itu, polis sedang menyiasat kes ini daripada pelbagai sudut di mana siasatan identiti mangsa dipercayai seorang perempuan tempatan berusia 23 tahun berdasarkan lambang tatu di lengan dan jari tangan.

“Manakala telefon bimbit yang dijumpai di tempat kejadian juga disahkan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Beliau berkata kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Justeru, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Asisten Superintendan Chua Sze Yuan di talian 012-619 5312 untuk membantu siasatan,” katanya.

#PerakKini #mayatreput #keretaterbabas #Tambun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *