Ustaz, tiga warden pusat pemulihan dadah ditahan dipercayai terbabit kes bunuh penghuni

Gambar hiasan.
Oleh Rosdalilah Zahari
KUALA KANGSAR – Seorang ustaz dan tiga warden ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang penghuni pusat pemulihan dadah di sini.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung mangsa yang sudah tidak bernyawa daripada doktor bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar pada Rabu lalu.
Menurutnya, mangsa, lelaki berusia 25 tahun berasal dari Shah Alam, Selangor itu dibawa ke hospital tersebut oleh seorang ustaz dan tiga warden dari sebuah pusat pemulihan dadah di sini selepas mangsa tidak sedarkan diri sejak jam 7 malam.
“Hasil temu bual awal pengasas dan warden pusat pemulihan itu mendapati pada Rabu lalu lebih kurang 1.45 petang, mangsa didakwa bercakap seorang diri dan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap semula.
“Selepas itu mangsa bertindak cuba mencederakan salah seorang warden menggunakan sebilah pisau lalu mengamuk.
“Bagaimanapun, mangsa berjaya ditangkap dan ditenangkan selepas berlaku pergelutan dengan cara warden beberapa kali menumbuk pada bahagian badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Azizi berkata, kira-kira jam 4.45 petang hari yang sama, mangsa cuba melarikan diri sekali lagi dan terjun dari tepi tangga tingkat satu bangunan dengan tinggi lebih kurang lapan meter.
“Selepas berjaya ditangkap semula, kaki dan tangan mangsa diikat bagi mengelakkannya dari mengamuk dan melarikan diri serta ditempatkan di dalam bilik tetamu.
“Ketika itu mangsa beberapa kali menghentak kepalanya di lantai dan dinding sehingga berdarah.
“Pada jam 7.45 malam, warden mendapati mangsa tidak sedarkan diri semasa ditempatkan di bilik tetamu dan terus membawanya ke Hospital Kuala Kangsar,” ujarnya.
Katanya, ujian imbasan sinar-X yang dilakukan ke atas mangsa menemui kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam di bahagian muka, mata kiri, dada, kedua-dua belah kaki dan tangan.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa pada hari ini mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.
“Kesemua lelaki yang ditahan itu akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya.
#PerakKini #PDRM #bunuh #pusatpemulihandadah #KualaKangsar
