Video tular gaduh di Menglembu, polis buru tiga lelaki

Tangkap layar video tular pergaduhan yang berlaku berhampiran kedai makan di Bandar Baru Menglembu, di sini semalam.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memburu tiga lelaki disyaki terbabit dalam kes pergaduhan berhampiran kedai makan di Bandar Baru Menglembu, di sini yang tular di platform media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu semalam pada jam 6.36 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati, kes ini berlaku pada 16 September, jam lebih kurang 6.22 petang berhampiran sebuah kedai makan di Bandar Baru Menglembu, di sini.
“Ketika kejadian seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun dipercayai mengganggu tiga suspek warga tempatan yang sedang makan di kedai berhampiran lalu memprovokasi kemarahan suspek-suspek.
“Ketiga-tiga suspek terbabit kemudiannya bertindak memukul mangsa menggunakan kayu dan kerusi sehingga dia mengalami kecederaan iaitu luka di bahagian kepala dan tangan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.
“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti identiti ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20 tahun itu.
“Sehubungan itu, kita ingin meminta kerjasama daripada orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Amy Crystal Anak Barahen Tahir di talian 014-390 9719 untuk membantu siasatan lanjut.
Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan beberapa orang lelaki menggunakan kerusi dan kayu menyerang seorang lelaki berhampiran kedai makan di Menglembu.
#PerakKini #tular #video #gaduh #Menglembu
