Wanita warga asing dicekup susulan lelaki maut ditetak di Ayer Tawar

Oleh Rosdalilah Zahari

MANJUNG – Seorang wanita warga asing ditahan susulan penemuan mayat seorang lelaki yang maut ditetak di dalam ladang sawit berhampiran kilang papan di Ayer Tawar, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 5.15 petang semalam.

Menurutnya, mangsa yang berusia 38 tahun itu dijumpai terbaring di atas tanah dengan beberapa kesan tetakan di bahagian badan

“Polis turut menjumpai dua batang besi cangkuk tandan kelapa sawit, satu batang besi serta sebuah motosikal milik mangsa yang berada berdekatan dengan mangsa.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala dan pendarahan yang banyak akibat kesan tetakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun. Keseksaan

“Suspek wanita berusia 38 tahun yang juga kenalan mangsa itu ditahan pada jam 3.30 pagi Ahad dan direman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 1 Julai di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” ujarnya.

Justeru, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

#PerakKini #maut #tetak #AyerTawar #Manjung #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *