14 KELUARGA DAPAT BANTUAN

Oleh: SHAIFUL SHARIN
BAGAN SERAI- Kesedihan 54 mangsa banjir yang masih menghuni dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak Alor Pongsu dan SK Parit Haji Aman, disini, sedikit terubat apabila sebuah syarikat telekomunikasi swasta, tampil menyalurkan bantuan kepada mereka, hari ini.
Pengurus edotco Malaysia Sdn. Bhd, Zon Utara, Khirul Anuar Omar,berkata pihaknya yang mengetahui kejadian ini melalui siaran media, amat bersimpati dengan nasib 14 keluarga disini dan tampil menghulurkan bantuan.
Menurutnya sumbangan yang disampaikan adalah dalam dalam bentuk wang ringgit bagi meringankan beban keluarga yang terbabit khususnya menjelang hari raya nanti.
” Ini merupakan sebahagian misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dalam membantu golongan yang bernasib malang.
” Dalam kunjungan hari ini kami menyampaikan bantuan wang tunai berjumlah RM 250 untuk setiap keluarga dan Insyaallah pihak kami akan terus membantu rakyat yang bernasib malang di Parlimen ini,” katanya ditemui media selepas menyampaikan bantuan wang tunai kepada mangsa banjir di SK Changkat Lobak, Alor Pongsu, disini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.
Menurut Khirul Anuar lagi, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pihak syarikat turut menyumbangkan kit makanan, PPE serta kelengkapan lain untuk kemudahan petugas barisan hadapan sewaktu menjalankan tugas.
Tambahnya sehingga kini (sepanjang PKP dan PKPB) dijangka hampir RM 15,000 telah disumbangkan syarikat bagi membantu golongan memerlukan termasuk petugas barisan hadir di zon utara.
Dalam pada itu, Sham berkata pihaknya amat berterima kasih kepada syarikat swasta yang prihatin dan tampil membantu golongan bernasib malang di Parlimen Bagan Serai.
Tambahnya pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama dari mana-mana badan korporat atau syarikat swasta dalam membantu golongan memerlukan, disini.





