Operasi SAR kuari runtuh tamat

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menamatkan operasi petang tadi selepas bangkai jengkaut (excavator) yang dipercayai dikendalikan mangsa kedua ditemui dan dikeluarkan daripada timbunan batu di lokasi kuari runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang berlaku pada Mac lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata jengkaut itu dikeluarkan kira-kira jam 5.20 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6 petang.
Menurutnya, bangkai jengkaut itu dikeluarkan pasukan SAR yang diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak.
“Pencarian pasukan SAR di sekitar lokasi bangkai jentera turut menemui cebisan pakaian dan tulang manusia dipercayai milik mangsa kedua yang dilaporkan hilang dalam insiden itu.
“Cebisan pakaian dan tulang manusia itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata dengan penemuan kedua-dua bangkai jengkaut, cebisan pakaian dan tulang manusia yang dipercayai milik kedua-dua mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh itu, operasi SAR ditamatkan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang turut serta membantu dalam operasi SAR khususnya JBPM Perak, JMG Perak, Pasukan SMART, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Universiti Teknologi Petronas dan pihak kuari,” katanya
Dalam kejadian 8 Mac lalu, dua pekerja kuari yang dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49 dipercayai tertimbus runtuhan batu tersebut.
#PerakKini #tertimbus #ditemui #operasi #tamat #kuariSimpangPulai
