MULA 7 PAGI KELUAR CARI KUCING TERBIAR

Oleh Intan Efazila Md Yusop
MUALLIM: Selain manusia, haiwan juga perlukan makanan untuk hidup menyebabkan atas sifat kasihkan makhluk ciptaan Tuhan , seorang lelaki setiap hari bermotosikal mengelilingi pekan memberi kucing makan, dekat sini.
Setiap hari kira-kira jam 7.00 pagi, Nasir Salaton, 67, yang tinggal di Kampung Kurnia, Slim River menunggang motosikal jenis Honda C90 mengelilingi pekan ke lokasi, iaitu tempat kucing terbiar diami untuk hidup.
Nasir berkata beliau mula memberi kucing makan sejak setahun yang lalu kerana berasa kasihan melihat kucing terbiar merayau kelaparan mencari makanan di tepi jalan kawasan pekan itu.
Katanya, kucing terbiar itu sudah mengenali bunyi motosikal beliau kerana dari jauh apabila terdengar deruman dan hon motosikal yang ditunggang itu, kelihatan beberapa ekor kucing datang menghampiri motosikal itu.
“Saya memberi kucing terbiar atau kadangkala anjing pun turut serta dengan makanan nasi yang digaulkan dengan ikan dari rumah terutama pada bulan Ramadan lalu kerana puasa diwajibkan pada manusia bukannya haiwan.
” Kucing atau anjing pun hendak hidup juga, sama macam manusia yang perlukan makanan untuk hidup, jadi tidak salah kita kongsi rezeki kita dengan haiwan ini yang juga makhluk ciptaan Tuhan,” katanya ketika ditemui dekat bangunan premis perniagaan di Muallim.
Di samping itu, beliau juga turut membela kira-kira 20 ekor kucing di rumah yang kebanyakkkannya yang dibawa balik oleh isterinya bila terjumpa berkeliaran di kawasan pekan dan perumahan.
Lebih menarik, kucing jiran yang bertandang ke rumah beliau pun terus menetap di rumahnya disebabkan sikap beliau yang kasihkan haiwan itu.
” Kadangkala saya memungut kucing yang dibuang orang berhampiran hospital kerana kasihan melihat kucing itu yang merayau di tepi jalan dalam kelaparan.
” Kalau saya tidak berbuat demekian, kucing itu mungkin mati kelaparan atau lebih menyedihkan mati akibat dilanggar kenderaan yang lalu lalang di jalan terbabit,” katanya.
Nasir berkata beliau menjadikan aktiviti memberi kucing makan sebagai satu amalan dalam hidup apabila menyedari haiwan seperti kucing atau anjing pun berhak hidup di muka bumi ini.


