Polis kesan suspek kes samun ATM yang tular di media sosial
Tangkap layar CCTV suspek yang memegang pisau dalam kejadian samun mesin ATM di sebuah bank di Ipoh.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata hasil siasatan mendapati kes tersebut berlaku pada 14 Mei lalu kira-kira jam 5.20 petang.
Menurutnya, mangsa adalah seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an yang mengalami kerugian lebih kurang RM300 selepas disamun oleh suspek terbabit menggunakan pisau.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata polis sedang berusaha mengesan suspek terlibat yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan kes-kes jenayah kekerasan yang lain.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Zulkefli Mohd Muktar di talian 012-433 6999 atau Pusat Kawalan Daerah IPD Ipoh di talian 05-254 2222.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi satu minit tiga saat memaparkan seorang lelaki bertopi keledar hitam menerjah ke arah seorang wanita yang sedang berurusan di mesin ATM sambil mengacukan pisau ke arahnya.
Jeritan beberapa individu turut kedengaran dalam insiden berkenaan yang sekali gus mencetuskan kekecohan di situ dengan pengawal keselamatan bertugas turut tampil memberikan bantuan dan meminta pertolongan ramai susulan kejadian tersebut.
Kejadian yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu mula tular di platform media sosial sejak semalam.
Difahamkan, suspek sama dipercayai pernah terbabit dengan beberapa lagi kes rompakan di sekitar Ipoh dengan menaiki motosikal berjenama Honda Dash, namun nombor plat pendaftaran kenderaannya difahamkan kerap ditukar dan mengundang kesukaran untuk orang ramai menjejakinya.
#PerakKini #PDRM #samun #ATM #Ipoh #RBZ