Gara-gara menantu tak bayar hutang along, kereta, tembok pagar rumah mertua disimbah cat merah

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Gara-gara menantu perempuan yang membuat pinjaman dan tidak melangsaikan hutang along, pagar rumah mertuanya serta tiga buah kereta rosak disimbah cat merah dalam kejadian di Taman Bercham Indah pada Ahad lalu.

Chiang Leong Pan, 60, berkata kejadian itu disedari selepas dimaklumkan makciknya dari Kuala Lumpur yang bermalam di rumahnya kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, turut ditemui sekeping nota amaran dan ugutan supaya wang pinjaman dipulangkan segera berserta nombor telefon yang dilekatkan di tembok pagar rumah berkenaan.

Dia kemudiannya bertindak membuat laporan di Balai Polis Bercham pada hari yang sama bagi melindungi isteri, anak serta cucunya.

“Saya tidak pernah pinjam Along tetapi menantu saya ada (membuat pinjaman). Dia (menantu) bekerja di Singapura sejak tujuh tahun lalu dan kini saya tidak tahu dia berada di mana.

“Anak lelaki dan ibu kepada menantu saya juga buntu kerana gagal untuk menghubunginya.

“Kali terakhir saya berhubung dengan menantu adalah pada 1 Jun lalu,” katanya dalam satu sidang media khas yang diadakan di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini pada Rabu.

Katanya, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jiran dia mendakwa melihat kelibat seorang individu memegang tong cat dengan seorang lagi individu yang menunggu di dalam sebuah kereta.

“Akibat kejadian itu, kami sekeluarga hidup dalam ketakutan dan kami berharap pelaku dapat diberkas polis dengan segera,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata pihaknya sering berhadapan dengan kes yang lebih kurang sama membabitkan peminjam wang tidak berlesen sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata pihaknya akan menulis surat kepada Bukit Aman berhubung isu tersebut dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan pinjaman dengan along tetapi menggunakan saluran betul untuk berbuat demikian.

#PerakKini #PDRM #BN #along #rumah #simbahcat #merah #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *