Isu tanah lapangan terbang: Saya akan beri kerjasama kepada SPRM – Ahmad Faizal

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia untuk memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penjualan tanah bagi tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

 

Menurutnya, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM jika dipanggil untuk membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

 

“Saya akan bagi kerjasama (kepada SPRM), saya wajib sebagai seorang rakyat atau sesiapa juga yang perlu dalam membantu siasatan perlu beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika majlis kembara sahur bersama Funriders di Tambun, di sini awal pagi tadi.

 

Dalam perkembangan sama, beliau turut membidas bekas exco kerajaan negeri itu yang mendakwa tidak tahu menahu berhubung perkara berkenaan.

Ahmad Faizal pada sidang media ketika menghadiri majlis kembara sahur bersama Funriders di Tambun, di sini awal pagi tadi.

“Waktu saya menjadi Menteri Besar, exco saya yang kononnya tak tahu menahu tentang ada tapak lapangan terbang lain, (mendakwa) tak dibincangkan tanah nak dijual dan sebagainya, dia sendiri yang mengumumkan untuk membesarkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

 

“Apakah exco yang saya pimpin pada ketika itu tak bijak, sehinggakan nak besarkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, dalam masa yang sama, tak tahu tentang apa yang terjadi, kepada kononnya nak diadakan lapangan terbang di Seri Iskandar?,” ujarnya.

 

Berikutan itu, Ahmad Faizal memohon SPRM untuk menyiasat isu tersebut sehingga ke akar umbi supaya kebenaran dapat didedahkan kepada orang ramai.

 

“Sebenarnya saya tidak berminat untuk memberi sebarang ulasan kerana ia masih dalam siasatan SPRM.

 

“Bagaimanapun, saya mohon SPRM siasat sedalam-dalamnya dan dedahkan (isu tanah lapangan terbang) kepada orang ramai kebijaksanaan pemimpin kita dalam melakukan sesuatu urusan,” jelasnya.

 

Sebelum ini, ADUN Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.

 

#PerakKini #isujualantanah #lapanganterbang #SeriIskandar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *