Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Choh mohon naik taraf jalan, sedia perkhidmatan kesihatan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Umno Bahagian Tambun akan membantu merealisasikan impian masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Choh, Ulu Kinta bagi menaik taraf jalan serta menyediakan perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan.

Naib Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman berkata setakat ini hanya separuh jalan menuju ke kampung itu yang diturap dengan tar manakala separuh lagi jalan masih berada dalam keadaan tidak baik serta boleh membahayakan penduduk setempat.

“Dari segi jalan masuk ke kampung, tadi saya lihat banyak jalan yang rosak, oleh itu Umno Bahagian Tambun akan cuba meminta jasa baik Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk melihat perkara tersebut di bawah peruntukan Kementerian Luar Bandar supaya kita dapat turap dan baiki jalan berkenaan demi keselesaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Perak Kini selepas mewakili Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah menyampaikan barangan keperluan dapur kepada 50 keluarga Orang Asli Kampung Sungai Choh, Hulu Kinta, di sini, pada Khamis.

Tok Batin Kampung Sungai Choh, Adi Yusop.
Naib Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman meninjau keadaan di sekitar Kampung Orang Asli Sungai Choh, Ulu Kinta, di sini.
Keluarga Orang Asli Kampung Sungai Choh, Ulu Kinta yang hadir pada penyampaian barangan keperluan dapur oleh Umno Bahagian Tambun, di sini, pada Khamis.
Naib Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman (tengah) menyampaikan bantuan barangan keperluan dapur kepada Tok Batin Kampung Sungai Choh, Adi Yusop (kiri) pada Khamis.
Keadaan jalan masuk ke Kampung Orang Asli Sungai Choh, Ulu Kinta yang tidak rata dan dipenuhi lopak air serta membahayakan penduduk setempat.

Katanya, majoriti penduduk di kampung itu hanya bekerja sendiri untuk menampung keperluan hidup.

“Penularan Covid-19 menyebabkan banyak penduduk kampung yang terjejas pendapatan dan kita bertindak turun padang dengan menyampaikan serba sedikit sumbangan bagi mengurangkan beban mereka.

“Kebanyakan penduduk berkebun dan mengutip hasil hutan manakala orang muda pula bekerja mengambil upah di kebun luar kampung bagi menjana pendapatan.

“Sehubungan itu, kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu penduduk di kampung ini dari semasa ke semasa supaya mereka dapat menjalani kehidupan harian yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Sungai Choh, Adi Yusop menyatakan hasrat supaya Umno Bahagian Tambun dapat membantu dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

“Sebelum ini, dewan dan surau dijadikan tempat untuk penduduk kampung mendapat perkhidmatan kesihatan memandangkan tiada tempat khas yang disediakan untuk berbuat demikian.

“Jalan masuk ke kampung ini agak jauh kira-kira tujuh kilometer dari Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Ipoh dan agak sukar untuk penduduk turun ke bawah jika berlaku kecemasan.

“Pembinaan balai rawatan sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk kampung mendapatkan perkhidmatan kesihatan jika berlaku kecemasan terutamanya pada waktu malam,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut meminta supaya segala kemudahan awam yang rosak di kampung berkenaan dibaiki segera.

“Kita berharap pihak Datuk dapat menambah baik lampu dan kipas di dewan sedia ada serta menaik taraf jalan masuk ke kampung untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *