Kerajaan Negeri perketat kawalan di Tasik Cermin

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan negeri akan mengambil langkah memperketatkan kawalan di Tasik Cermin berikutan tular video yang menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik itu baru-baru ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata setakat ini pihaknya sudah mengambil maklum berhubung perkara itu.

“Kita juga sedang membuat semakan untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun pada ketika ini kita masih belum mendapat maklumat yang tepat siapa yang melakukan perkara berkenaan.

”Justeru, kita akan memperketatkan lagi kawalan dan melaksanakan tindakan bersesuaian bagi memastikan perkara seperti itu tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu video tular berhubung tindakan seorang individu yang terjun ke dalam tasik tersebut sehingga mengundang kecaman netizen.

Dalam perkembangan sama, Nolee Ashilin berkata tindakan itu sememangnya tidak dibenarkan daripada segi keselamatan pengunjung.

”Semestinya impak daripada isu berkenaan sama ada lagi ramai orang pergi nak tengok (Tasik Cermin) atau kita terpaksa tutup tempat itu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (tiga kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa (dua kanan) dan Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor, Zamzuri Suid (dua kiri) pada sidang media Pangkor Sea Challenge 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Tangkap layar berita Perak Kini berhubung isu video tular lelaki terjun di Tasik Cermin baru-baru ini.

“Sehubungan itu, kita minta pengunjung supaya lebih bertanggungjawab apabila melawat kawasan yang dikirakan sebagai kawasan pelancongan,” jelasnya.

Sebelum ini, tular satu rakaman video yang dimuat naik pemilik akaun bernama Syafiruzafiza di aplikasi Tiktok memaparkan seorang lelaki disyaki terjun ke Tasik Cermin.

Video berdurasi kira-kira 15 saat itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan seolah-olah dia sedang bermandi-manda di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan pelancong di Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin juga dilaporkan memaklumkan kawasan itu ditutup sehingga siasatan kes selesai dijalankan sebelum dibuka semula untuk kunjungan pelancong.

Terdahulu, Nolee Ashilin mengadakan sidang media Pangkor Sea Challenge 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor, Zamzuri Suid.

Pangkor Sea Challenge 2021 akan berlangsung pada 30 dan 31 Disember ini di Pasir Pasir Bogak, Pulau Pangkor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *