Kompleks parkir bertingkat bakal dibina atasi kesesakan HRPB

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pembinaan kompleks parkir bertingkat adalah langkah diambil kerajaan negeri bagi mengatasi kesesakan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, A Sivanesan berkata kompleks parkir tersebut dijangka akan mula dibina pada tahun hadapan.

Menurutnya, beliau sudah mengadakan perbincangan awal dengan sebuah syarikat dari negara China lebih sebulan lalu yang membuat tawaran untuk membina kompleks letak kereta bertingkat itu.

“Setakat ini kita (kerajaan negeri) belum mendapat kertas kerja daripada syarikat tersebut. Bagaimanapun, apabila kereta kerja itu diperoleh, saya akan kemukakan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri dan berbincang dengan Menteri Besar untuk dipertimbangkan.

“Selepas itu, saya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kalau mereka setuju kompleks parkir bertingkat itu akan dibina sekurang-kurangnya di dua hospital iaitu HRPB dan Hospital Taiping,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berhubung isu parkir hospital di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata segala perbelanjaan pembinaan kompleks tersebut akan ditanggung syarikat tersebut.

“Kerajaan negeri tidak perlu menanggung apa-apa kos dan jika berjaya (tempat letak kenderaan) akan seperti Hospital Universiti di Petaling Jaya sekali gus dapat selesaikan masalah ini (parkir),” jelasnya.

Katanya, cas parkir akan dikenakan kepada pengguna namun harus dalam kemampuan dan munasabah.

“Cas pembayaran parkir diperlukan supaya kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dan memberi pulangan balik kepada kita bagi tempoh 10 ke 25 tahun,” katanya.

#PerakKini #HRPB #parkir #bertingkatngkat #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *