Mohon kelonggaran saman kenderaan parkir tepi HRPB lanjut setahun lagi

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan negeri akan memohon Polis Perak supaya tidak mengenakan saman kepada pesakit atau pelawat yang meletakkan kenderaan di tepi jalan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) supaya dilanjutkan bagi tempoh setahun lagi.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, A Sivanesan (gambar) berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam masa terdekat bagi berbincang mengenai perkara itu.
“Saya akan minta sekurang-kurang untuk setahun lagi memandangkan tidak ada kes kemalangan di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media berhubung isu parkir hospital di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.

Sebelum ini, Polis Perak menangguhkan sementara tindakan menyaman kenderaan di kawasan itu sehingga Mei itu berikutan keperluan petak parkir yang tidak mencukupi selain pembinaan parkir baharu yang masih dalam proses.
Mohd Yusri berkata kelonggaran meletakkan kenderaan itu diberikan kepada orang ramai dengan syarat mereka tidak menghalang lalu lintas sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain serta ambulan yang sering keluar masuk ke hospital tersebut.
Sementara itu, beliau berkata projek tempat meletak kenderaan dengan kapasiti 170 lot di hadapan Klinik Kesihatan Greentown yang dibina sejak Mac sudah siap sepenuhnya pada 16 Jun lalu.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri juga sudah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM35,000 di bawah peruntukan pembangunan bagi tujuan naik taraf tempat letak kereta sedia ada di dalam kawasan klinik tersebut dengan tambahan 40 lot baharu.
#PerakKini #PDRM #parkir #HRPB #KlinikKesihatanGreentown #RBZ
