Lelaki ‘tinggal’ 6 hari dalam hutan di Meru alami masalah skizofrenia

Foto JBPM Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Lelaki berusia 41 tahun yang berada di dalam Hutan Simpanan (HS) Meru selama enam hari dan diselamatkan anggota bomba dan penyelamat pada pagi ini dipercayai mengalami masalah skizofrenia (halusinasi).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki terbabit pernah dirujuk kepada doktor psikiatrik di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu dan dalam pengawalan ubat kerana masalah tersebut namun berhenti mengambil ubat sejak Januari tahun ini.
Menurutnya, mangsa yang diselamatkan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh melalui ambulan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan doktor memaklumkan dia berada dalam keadaan stabil namun tekanan darahnya agak rendah kerana tidak makan selama enam hari.
“Pegawai Penyiasat telah ke hospital untuk menemu bual mangsa dan dia menyatakan telah masuk HS Meru pada 3 Jun lalu kerana mahu tinggal bersendirian dan tidak suka untuk hidup bersama manusia.
“Mangsa yang juga seorang penganggur turut memaklumkan dia adalah anak yatim piatu yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur dan datang ke Ipoh pada 3 Jun lalu menaiki bas.
“Selain itu, mangsa memberitahu bahawa dia tinggal bersendirian sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1999,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu Yahaya berkata, mangsa memaklumkan dia membeli sebilah parang dari sebuah kedai untuk tujuan masuk ke dalam hutan dan tidak makan sejak masuk ke dalam hutan.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 1 pagi tadi mangsa mendapati beliau telah sesat dan memerlukan bantuan kerana mengalami masalah sesak nafas serta menghubungi JBPM untuk meminta bantuan,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya telah menasihati mangsa untuk tidak melakukan perkara yang akan mendatangkan kemudaratan selepas ini dan dia mengakui faham dan berjanji tidak akan mengulangi perkara seperti ini lagi.
#PerakKini #PDRM #JBPM #lelaki #skizofrenia #Meru #RBZ
