Remaja perempuan tular video bergaduh, putuskan untuk berdamai

Oleh Rosdalilah Zahari

BAGAN SERAI – Insiden pergaduhan yang membabitkan dua pelajar perempuan yang tular di media sosial berakhir apabila kedua-dua pihak memutuskan untuk berdamai.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, hasil siasatan mendapati kejadian membabitkan dua remaja perempuan masing-masing berusia 12 hingga 17 tahun berlaku pada 9 Jun lalu, jam 10 pagi di kawasan Bagan Serai.

Katanya, remaja yang terbabit bersama keluarga hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian bagi membantu siasatan pada jam 6 petang semalam.

“Kedua-dua remaja terlibat tidak mahu memanjangkan hal tersebut termasuk keluarga mereka tidak mahu mengambil sebarang tindakan demi masa depan remaja berkenaan.

“Susulan itu, laporan berhubung tidak mahu memanjangkan kes telah dibuat oleh pihak keluarga mangsa sekitar jam 7.21 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes melibatkan penyebaran di media sosial akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi tindakan lanjut.

Sehubungan itu katanya, beliau menyeru orang ramai supaya menghentikan penyebaran video tersebut dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Sekiranya masih terdapat penyebaran maklumat palsu di media sosial individu yang terlibat boleh dihukum dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 48 saat di media sosial memaparkan sekumpulan remaja perempuan berkumpul dan berlaku pergaduhan di antara dua remaja terbabit.

#PerakKini #PDRM #video #tular #remajaperempuan #gaduh #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *